"Mahathir Membuat Jenaka & Memutar Belit Kenyataan Supaya Nampak Menarik" - DS Najib


Lima hari selepas gagal menghadiri forum "Nothing to Hide", Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini merayu rakyat Malaysia supaya tidak "diperdaya" kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkannya "separuh benar, jenaka yang mengelirukan dan berputar belit".

Najib pada Jumaat lepas tidak hadir pada dialog anjuran badan bukan kerajaan yang dijadualkan membincangkan isu semasa termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang turut dihadiri bekas perdana menteri itu.

Menggelar Dr Mahathir sebagai "pakar persepsi umum", Najib dalam satu lagi posting di blognya hari ini mempertahankan dirinya daripada serangan negarawan bersara itu, terutamanya berhubung hutang RM42 bilion 1MDB.

Sebaliknya, katanya, rakyat perlu berfikir sejenak dan menganalisis fakta yang ada, sambil menambah, begitu banyak sumbangan beliau kepada negara sepanjang enam tahun lalu sejak mengambil alih pentadbiran negara.

"Tun ialah seorang ahli politik veteran dan pakar persepsi umum. Beliau faham yang kenyataan politik tidak semestinya mencerminkan kebenaran, tetapi ia mengenai apa yang menjadi kepercayaan masyarakat umum.

"Sebab itu dia terus membuat sindiran, bercakap separuh benar, membuat jenaka yang mengelirukan dan memutar belit kenyataan, supaya pandangannya nampak menarik dan memuaskan," kata Najib dalam satu siri berterusan di ruangan Soalan Lazim blog blog, khusus untuk menangani tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

"Begitu banyak yang kita lakukan dalam tempoh enam tahun yang lalu, tetapi Tun tidak mengendahkan semua ini sebaliknya hanya membangkitkan dakwaan dan masalah kerana beliau tahu, dengan cara itu beliau dapat mempengaruhi fikiran rakyat menentang kerajaan sekarang dan saya," katanya dalam blognya www.najibrazak.com.

"Saya menggesa ahli Umno dan BN bersama dengan semua rakyat Malaysia tidak diperdaya setiap kali Tun menyerang. Fikirlah sejenak dan analisis fakta yang ada."

Ini kali ketiga Najib menggunakan laman web beliau menjawab tuduhan yang dilemparkan kepadanya oleh Dr Mahathir, termasuk mengenai pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, penggunaan jet kerajaan, potensi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang dan 1MDB yang dibebani hutang.

Dr Mahathir berulang kali menggesa peletakan jawatan Najib, mengatakan seorang pemimpin yang dipilih boleh disingkirkan walaupun sebelum tamat penggalnya.

Bekas perdana menteri itu mengatakan malah bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang dipilih dengan majoriti lebih besar, dipujuk untuk berundur oleh Najib.

Mengulas perkara itu, Najib berkata, walaupun jika beliau meletak jawatan, Dr Mahathir akan terus campur tangan dalam pentadbiran negara, sambil menambah rakyat cenderung untuk mempercayai apa yang dikatakannya memandangkan siapa dia.

"Dia boleh kata dia hanya menjalankan hak demokrasinya sebagai warganegara, tetapi ini Tun Mahathir. Orang cenderung untuk percaya apa yang dikatakannya, walaupun ia tidak semestinya tepat.

"Ia mempunyai kesan yang besar ke atas persepsi umum, kerana beliau bukan sebarangan rakyat biasa."

Najib juga berkata ketua negara lain yang kini bersara sedar mereka tidak sepatutnya campur tangan dalam hal pentadbiran pemimpin selepas mereka kerana kata-kata mereka akan meninggalkan kesan.

"Banyak sebab mengapa kebanyakan bekas ketua negara seluruh dunia tidak campur tangan dalam kerja pentadbiran semasa, kerana apa sahaja yang mereka katakan boleh menjejaskan sistem.

"Tun ialah seorang ahli politik veteran dan pakar persepsi umum. Tun melakukan banyak perkara yang mulia dan hebat sebagai perdana menteri, tetapi beliau tidak lagi mentadbir negara." – 9 Jun, 2015.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to ""Mahathir Membuat Jenaka & Memutar Belit Kenyataan Supaya Nampak Menarik" - DS Najib"

Posting Komentar