BUKIT BERUNTUNG: Kehilangan pemuda, Mohd Zur Ain Izmeer Md Asrin, 25, sejak Ahad lalu terjawab apabila dia ditemui cedera awal pagi tadi selepas kereta dipandunya terjatuh dalam gaung.
Mangsa ditemui 1.15 pagi tadi dalam keadaan lemah dan sedang menahan kesakitan di dalam kereta yang terbalik di dalam gaung di Jalan Bukit Beruntung-Sungai Choh dekat Taman Bukit Teratai di sini.
Ibu mangsa, Asnah Yusof, 50, berkata, ketika kejadian kira-kira 4 pagi itu, anaknya menghubunginya namun dia tidak menjawab panggilan berkenaan.
“Saya hubungi dia semula tetapi tidak berjawab namun anak ada telefon penyelia tempat kerjanya mengenai kejadian itu sebelum telefon bimbitnya kehabisan bateri.
“Usaha mencari dilakukan bersama ahli keluarga dan rakan anak sejak dua hari lalu sehingga kami menemuinya dalam keadaan selamat pagi tadi,” katanya.
Menurut Asnah, usaha mencari dilakukan bermula di kawasan berbukit di Sungai Buaya dan bergerak berjalan kaki hingga ke lokasi mangsa ditemui kira-kira 15 kilometer.
Katanya, pelbagai cara dilakukan bagi mencari anaknya termasuk memuat naik ke laman sosial Facebook.
Operasi menyelamat dan membawa keluar mangsa dilakukan pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu pagi tadi.
Mangsa kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
0 Response to "Remaja Kemalangan Terperangkap Dalam Gaung 2 Hari"
Posting Komentar