Umpan Kanak-Kanak Dengan Lollipop Sebelum Culik Di Sekitar Selangor


GOMBAK - Umpan kanak-kanak dengan gula-gula lolipop. Itu taktik digunakan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing yang cuba menculik kanak-kanak tadika.

Suspek yang menaiki van didakwa menjadikan kanak-kanak yang baru pulang dari kelas sebagai sasaran di sekitar kawasan Rawang, di sini.

Dalam kejadian terbaru jam 10 pagi Jumaat lalu, suspek dikatakan cuba mengumpan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini.

Sumber berkata, suspek sebelum itu dikatakan membuat tinjauan di beberapa taska berhampiran sebelum menyasarkan mangsa yang pulang ke rumah tanpa dijemput ibu bapa.

"Kanak-kanak perempuan itu dikatakan pulang berjalan kaki menuju ke rumahnya sebelum disapa salah seorang lelaki yang menaiki van.

"Suspek kemudian berpura-pura mahu memberikan mangsa gula-gula lolipop. Bagaimanapun kanak-kanak itu segera melarikan diri sebelum suspek sempat menculiknya," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak itu berpatah balik ke tadikanya dan memberitahu guru berhubung kejadian itu.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu Arang, di sini oleh pengusaha taska berkenaan.

Difahamkan, kejadian cubaan culik itu turut hampir berlaku terhadap seorang kanak-kanak lelaki, namun sempat diselamatkan seorang guru tadika.

"Kejadian ini menimbulkan rasa cemas penduduk sekitar Bandar Tasik Puteri yang kini lebih berwaspada terhadap keselamatan anak masing-masing," katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat oleh guru taska berkenaan. 

Menurutnya, pihak polis kini sedang melakukan siasatan bagi mengesan kumpulan berkenaan.

Orang ramai khususnya ibu bapa diminta lebih berhati-hati dan tidak membiarkan anak-anak mereka berkeliaran tanpa sebarang pengawasan.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Umpan Kanak-Kanak Dengan Lollipop Sebelum Culik Di Sekitar Selangor"

Posting Komentar